Saturday, January 23, 2010

Daulat Tuanku

Tunku Ibrahim Ismail Dimasyhur Sebagai Sultan Johor

JOHOR BAHARU, 23 Jan (Bernama) -- Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang baru pada Sabtu
23 Januari 2010.

Pemasyhuran itu, berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, diumumkan secara rasmi oleh Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman di Istana Besar Johor Baharu pada pukul 10.21 pagi.

"Berdasarkan Undang-Undang Tuboh Kerajaan Johor 1895, disahkan bahawa waris Sultan, Tunku Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar dimasyhurkan sebagai Raja dan Sultan di bawah undang-undang yang sama," katanya.

Sejurus itu, Tunku Ibrahim Ismail, 51, mengangkat sumpah sebagai Sultan Yang Dipertuan Jajahan Johor Darul Takzim dan segala takluknya.

Baginda mengaku akan memerintah dengan adil dan saksama serta bertimbang rasa kepada rakyat.

Tunku Ibrahim Ismail, yang berbaju Melayu putih, juga melafazkan sumpah bagi menghormati dan memelihara agama Islam dan adat istiadat Melayu dan berpegang teguh kepada Undang-undang Tuboh Kerajaan Johor 1895 dan Undang-undang negeri Johor.

Istiadat angkat sumpah disaksikan Sultanah Zanariah, isteri baginda Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dan kesemua anakanda serta adinda baginda. Turut hadir Penasihat Majlis Agama Islam Johor Datuk Noh Gadot, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta anggota Exco kerajaan negeri Johor.

Pemasyhuran Tunku Ibrahim adalah bagi mewarisi takhta Johor selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada pukul 7.15 malam semalam di Hospital Pakar Puteri di sini.

Istiadat itu diadakan sebelum pemakaman ayahanda baginda di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini.

Petang semalam, Tunku Ibrahim Ismail dilantik Pemangku Raja selepas Sultan Iskandar dimasukkan ke hospital itu kerana gering.

Tunku Ibrahim Ismail yang menikahi Raja Zarith Sofiah pada 1982 dikurniakan lima putera dan satu puteri, iaitu Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar, Tunku Amina, Tunku Idris, Tunku Abdul Jalil, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Iman.

Diputerakan pada 22 Nov 1958 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baharu, putera sulung daripada 10 adik-beradik itu dilantik sebagai pewaris takhta Negeri Johor apabila ditabalkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Baginda pernah dilantik Pemangku Raja pada 25 April 1984 semasa Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelapan.

Tunku Ibrahim menerima pendidikan awal di Sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu, Johor dan kemudian belajar di Trinity Grammar School, Australia pada 1968 hingga 1970 sebelum meneruskan pelajaran menengah di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).

Baginda menerima pendidikan agama di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek, Johor Baharu.

Setelah tamat pengajian peringkat menengah, Tunku Mahkota dihantar oleh ayahanda baginda ke Pusat Latihan Darat (Pulada), Kota Tinggi untuk menerima latihan asas ketenteraan selama tiga bulan.

Bagi melengkapkan lagi pengetahuan baginda dalam asas ketenteraan, Tunku Ibrahim Ismail yang segak itu dihantar ke Fort Bening, Georgia, Amerika Syarikat untuk mengikuti Kursus Asas Pegawai-Pegawai Infantri dan Udara.

Baginda kemudiannya mengikuti latihan lanjut ketenteraan dalam Kursus Pegawai-Pegawai Pasukan Khas di Fort Bragg, Amerika. Sekembalinya ke tanah air, Tunku Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Komander, Angkatan Tentera Johor.

Baginda menghadiri kursus latihan helikopter di Pangkalan Tentera Kluang dan menerima sayap selain menamatkan tugas latihan selama dua bulan dalam Tentera Laut Diraja Malaysia.

Tunku Ibrahim juga sangat berminat dalam bidang sukan, khususnya polo yang telah membawa baginda menyertai kejohanan sehingga ke peringkat antarabangsa, termasuk Singapura, Manila dan Brunei.

Turut menjadi kegemaran baginda ialah sukan tenis, luncur layar, menembak dan memandu kereta.

-- BERNAMA

Al-Fatihah


Sekalung takziah buat seluruh warga Johor dan kaum keluarga Diraja Johor keatas kemangkatan Al-marhum Sultan Iskandar Ibni Al-marhum Sultan Ismail Ibni Al-marhum Sultan Ibrahim sultan bagi seluruh jajahan negeri Johor.

Sultan Iskandar telah menghembuskan nafas yang terakhir pada kira-kira jam 7:15 mlm
22 Januari 2010 di Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru pada usia 77thn dan beliau meninggalkan seorang Isteri serta 10 orang putera dan puteri.

Diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru

Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Ngee Heng, Johor Bahru sebelum melanjutkan pelajarannya di English College (sekarang Sekolah Sultan Abu Bakar) di Johor Bahru.

Baginda seterusnya melanjutkan pelajarannya di Trinity Grammer School Australia dan selepas itu ke United Kingdom.

Setelah menamatkan pengajiannya, baginda berangkat pulang ke Johor pada tahun 1956 dan terus berkhidmat sebagai Pegawai Kadet Johor Civil Service.

Baginda telah dilantik sebagai Tengku Mahkota pada 29 April 1981.

Pada 11 Mei 1981 baginda telah dimasyhurkan sebagai Sultan Johor yang keempat.

Baginda telah dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia pada 5 April 1982

Baginda ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong VIII pada 15 November 1984

Baginda pernah mendapat latihan asas ketenteraan dalam Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor (Johore Military Forces) yang diasas dan ditubuhkan oleh Almarhum Sultan Abu Bakar

Pada masa lapang baginda gemar bermain polo, papan layar, memburu dan bermain golf.

Tuesday, January 05, 2010

4 Januari 2010 - Hari pertama buat Alfian



Hari nie hari pertama Alfian ke sekolah,TABIKA pun TABIKAlah..ok jer..Alhamdulillah, tak ada masalah. Alfian tak kisah pun, seperti mana kakak masa mula-mula sekolah macam tu jugalah Alfian. Dia buat tak kisah jer, mula-mula ingatkan dia mintak temankan ke? Maklkumlah kalau kat rumah bukan main manja, tapi dia buat selamba jer bila Papa tinggalkan dia. Kakak pulak macam biasa, pantang terlepas dari rumah tersengeh-sengeh ler dia. Baru hari pertama dia dah dapat ramai kawan, dia kata kenapa sekejap sangat dah balik....wassalam.